PENGENALAN

Konsep 5S mula diperkenalkan di Jepun pada awal tahun 1980an. Ianya telah meluas ke beberapa negara apabila telah dikenalpasti sebagai satu kaedah atau garis panduan yang sistematik dan praktikal dari aspek kebersihan, kekemasan dan keselamatan secara menyeluruh bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa, kemas dan selamat. Selain itu, amalan ini juga dapat membantu dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan, menjimatkan kos dan memudahkan proses kerja.

Amalan 5S merupakan teknik yang paling berkesan bagi mewujudkan budaya peningkatan secara berterusan atau dikenali sebagai Kaizen dalam bahasa Jepun. Kaizen adalah penambahbaikan yang dilakukan secara sedikit demi sedikit tetapi berterusan terutama dalam aktiviti yang berorientasikan manusia dan proses. Bagi menjayakannnya, penyertaan dan komitmen yang tinggi diperlukan daripada semua peringkat anggota dalam organisasi.

Di Malaysia, konsep amalan 5S mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 1980-an dan telah dipraktikkan dalam sektor swasta. Kini telah banyak agensi swasta dan kerajaan yang telah mempraktikkan amalan ini serta mendapat pengiktirafan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Bagi merealisasikan hasrat Kampus Kesihatan untuk mendapatkan persijilan Amalan 5S, Majlis Pelancaran Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia telah diadakan pada 9 Ogos 2011 bertempat di Dewan Persidangan Kampus. Pelancaran ini menandakan secara rasminya Kampus Kesihatan memberikan komitmen sepenuhnya dalam membudayakan 5S di Kampus. Semua ketua jabatan dan dekan telah menunjukkan komitmen ke arah persijilan 5S dengan menandatangani akujanji ke dalam Majlis Pelancaran 5S yang telah disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak.
 
LOGO
     Keterangan Logo 5S:
  • Logo USM: Logo USM sebagai institusi yang menjalankan program 5S
  • Bulatan besar: Melambangkan penglibatan seluruh warga USM Kampus Kesihatan yang menjalankan program 5S. Warna ungu sebagai warna identiti USM
  • 5 Kelopak: Terdiri daripada pelbagai warna yang ceria yang melambangkan bahawa 5S ini akan menceriakan keadaan persekitaran yang terlibat. Perkataan dalam kelopak bagi pula menerangkan 5S. Penggunaan kelopak ini juga selaras dengan Universiti Dalam Taman dan juga Humaniversiti dalam program yang dilancarkan oleh pihak pengurusan universiti.
Hak cipta terpelihara © 2013 ZON PERGIGIAN
Tarikh Akhir Kemaskini Isnin| 8 Julai 2013
Direka bentuk oleh:ZAWDI BADRUDDIN | AJK PROMOSI ZON